Pendidikan
Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai
Sebelum tertubuhnya sekolah Inggeris di Bagan Serai, Daerah Kerian hanya mempunyai sebuah sekolah Inggeris sahaja iaitu Anglo Chinese School yang terletak di Parit Buntar. Oleh yang demikian, banyaklah masalah yang timbul di kalangan kanak-kanak. Di antaranya ialah faktor jarak dan masalah pengangkutan. Ekoran daripada masalah itu, kanak-kanak di luar bandar sentiasa keciciran dalam bidang akademik terutamanya bahasa Inggeris.
Memandangkan betapa pentingnya sekolah Inggeris di Bagan Serai ketika itu, maka kerajaan telah meluluskan penubuhan sebuah sekolah Inggeris di Daerah Kerian. Tuan E.C Hicks ( Senior Inspector School Perak) yang merupakan ketua di Jabatan Pendidikan Perak telah memberikan kebenaran mendirikan bangunan sekolah Inggeris di Bagan Serai pada tahun 1952. Sebagai permulaan, hanya sebuah bangunan sementara dengan dua bilik darjah dan bilik asrama didirikan di lorong sekolah (belakang bangunan Sekolah Kebangsaan kini). Ketika itu, hanya dua buah kelas sahaja dibuka iaitu Darjah Khas Melayu dan Darjah Satu. Tuan E A Moissinac, bekas pesara guru merupakan Guru Besar pertama. Sekolah ini diterajui bersama-sama dengan dua pendidik iaitu En. D. A Devadsob, guru Darjah Khas Melayu dan Cik Zabidah bt M. Ismail, guru Darjah Satu.
En. W.H.B Monerasinghe pula merupakan Guru Besar kedua. Pada tahun itu, bilangan murid telah bertambah ramai. Pada tahun 1956, sebuah bangunan tetap telah dibina iaitu di Jalan Anderson (Jalan Matang Buluh sekarang) yang mengandungi 9 buah bilik darjah. En. Ooi Beng Hooi pula merupakan Guru Besar ketiga. Di bawah pentadbiran beliau banyak perubahan yang dapat dilihat. Diantaranya ialah pertambahan pelajar. Atas desakan keadaan, kelas-kelas terpaksa dibuka di sebelah petang serta terpaksa pula meminjam bilik darjah dari sekolah Tamil yang berhampiran serta semua bilik telah dijadikan bilik darjah.
Pada tahun 1961, En. Kartar Singh telah menjadi Guru Besar yang keempat. Ketika itu, sebuah pelan telah dirancang untuk membina sebuah Sekolah Menengah Khas dan sekolah tambahan kepada sekolah yang lama. Ini merupakan langkah bagi menampung bilangan murid yang kian bertambah. Pada tahun 1962, sekolah ini telah dipecahkan kepada dua dan ditadbir secara berasingan. Bahagian sekolah menengah oleh Encik Kartar Singh dan bahagian sekolah rendah oleh Encik Tan Pee Tek.
Sungguhpun ia dipecahkan kepada dua bahagian, namun masih menggunakan bangunan yang sama. Sekolah rendah akan menggunakan bangunan ini pada sebelah petang manakala sesi pagi pula akan digunakan oleh sekolah menengah.
Pada tahun 1963, bahagian sekolah menengah telah berpindah ke bangunannya sendiri atas faktor pertambahan murid. Peningkatan bilangan pelajar pada setiap tahun mengubah sistem sekolah menengah daripada satu sesi kepada dua sesi. Ketika itu, sebuah dewan, dua bilik makmal sains, sebuah bilik guru dan 21 buah bilik darjah telah pun diperolehi.
Sebuah makmal sains tiga tingkat telah siap dibina dengan harga RM240,000.00 pada tahun 1975. Bangunan ini telah dibuka secara rasmi oleh Tuan Pengarah Pelajaran Perak, Tuan Syed Abu Bakar Barakbah KMN pada 23 Mac 1978.
Pada 30 Oktober 2010, blok tambahan SMK Bagan Serai secara rasminya dinamakan sebagai Blok Warisan. Pada akhir tahun 2011 pula, dua buah dewan yang dahulunya dikenali sebagai Dewan Besar dan Dewan Terbuka secara rasminya dinamakan sebagai Dewan Perdana dan Dewan Wawasan.
Tanggal 17 Mac 1984, nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Bagan Serai telah bertukar nama kepada Sekolah Menengah Bagan Serai (SMBS). Atas arahan JPN Perak, mulai 1 Februari 1997 sekolah ini pula dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai (SMKBS).
Dalam tahun 2000, satu blok tambahan 4 tingkat dan satu blok untuk makmal komputer telah dibina untuk mengisi bilangan pelajar yang semakin meningkat. Blok ini menempatkan Pusat Sumber Sekolah, Bilik Gerakan, Bilik Data, Bilik Unit Bimbingan Kaunseling, Bilik Seni, 8 buah kelas dan sebuah Dewan Terbuka. Manakala blok makmal komputer boleh memuatkan 2 buah makmal komputer dengan kemudahan ICT yang lengkap.
Pendidikan Khas Integrasi telah diwujudkan di SMK Bagan Serai pada 17 Januari 2001 dengan seorang guru dan 4 orang pelajar. Pada 18 Februari 2002, kelas pendidikan khas telah berpindah ke bangunan baru dengan prasarana yang lebih baik. Bilangan pelajar semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun seramai 34 orang. Manakala, bilangan guru PPKI adalah seramai 10 orang termasuk seorang Penolong Kanan Pendidikan Khas dan dibantu oleh 3 orang Pembantu Pengurusan Murid (PKM). Pada tahun 2008, PPKI telah melahirkan pelajar cemerlang PMR (perempuan) peringkat Negeri.
PPKI bergiat aktif dalam Akademik dan Kokurikulum dan telah mendapat Anugerah PPKI Cemerlang Daerah pada tahun 2009. Pada tahun 2010, PPKI telah memenangi Hadiah Saguhati Pertandingan Kitchen Garden dan Edible Lanscape anjuran FAMA Peringkat Negeri. Pada tahun 2008, PPKI telah menyertai Program The World Biggest Lesson anjuran Education International. Pada tahun 2010 Program Bumi Hijau telah dilancarkan.
Pada 1993 sebuah surau SMK Bagan Serai telah dibina hasil dari sumbangan Tun Ghaffar Baba untuk keperluan para guru dan pelajar Islam. Seterusnya pada tahun 2010, sebuah surau baru yang dinamakan Surau Al-Taqwa telah dibina hasil sumbangan Guru-guru Islam, Staff Sokongan, Ibu Bapa dan para pelajar SMKBS serta masyarakat setempat. Pada 23 Julai 2011 Surau Al-Taqwa telah siap dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kerian. Dengan terbinanya surau ini segala program yang berunsurkan keagamaan dapat dijalankan dengan memuatkan 500 orang pelajar Islam pada satu-satu masa. Surau ini menjadi pusat kecemerlangan kepada para pelajar Islam di sekolah ini. Pada 29 Jun 2002, SMK Bagan Serai telah menyambut Jubli Emas dan dirasmikan oleh Dato' Zainal Abidin bin Zain (DPMP) yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri meragkap Ahli Parlimen Bagan Serai pada masa itu. (sumber:smkbaganseraiblogspot, 3/12/2106).